PBKS

PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING DI SEKOLAH-SEKOLAH

PENGENALAN

Program Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Sekolah merupakan satu komponen penting dalam SPN 21. Ia merupakan satu proses perkembangan kendiri yang melibatkan pelajar-pelajar. Perkhidmatan ini adalah untuk membentuk individu-individu yang seimbang, bertoleransi, berdaya saing, berakhlak mulia dan mempunyai jati diri yang tinggi untuk melahirkan rakyat yang berkualiti.


TUJUAN
  1. Membantu pelajar meneroka dan mengembangkan potensi dari segi akademik, keperibadian, sosial, emosi, kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan tindakan.
  2. Membantu pelajar menikmati proses perkembangan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani supaya menjadi individu yang memiliki ciri-ciri yang bersesuaian dengan masyarakat dan negara berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja.
  3. Menolong pelajar memahami dan mengembangkan minat, bakat, kekuatan, potensi diri dan membantu mereka memilih mata pelajaran, jurusan dan cita-cita kerjaya masa depan.
  4. Membantu pelajar memiliki kemahiran-kemahiran untuk menghadapi pelbagai situasi hidup masa kini dan masa depan.

FUNGSI DAN PERANAN

  1. Menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah-sekolah rendah, menengah dan maktab.
  2. Memberikan khidmat kaunseling kepada pelajar-pelajar yang dirujuk.
  3. Sebagai sumber rujukan dalam bidang bimbingan dan kaunseling untuk guru-guru dan ibubapa.
  4. Menyediakan program-program yang berunsurkan pencegahan, motivasi dan modifikasi tingkahlaku untuk pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah dan maktab.
  5. Menyediakan program pendidikan dan bimbingan kerjaya.
  6. Menyediakan program perkembangan staf bagi Kaunselor Sekolah, Guru Bimbingan dan Guru Kerjaya.
  7. Menyelaras dan menyelia perancangan program bimbingan dan kaunseling sekolah, mengadakan prosedur-prosedur pengelolaan program dan memastikan program-program yang dirancang meliputi 4 komponen utama iaitu Perkembangan Personaliti, Perkembangan Akademik, Pendidikan Kerjaya dan Sesi Kaunseling.
  8. Menilai keberkesanan program, mengenalpasti kelemahan-kelemahan dan masalah-masalah yang dihadapi dan mengambil tindakan untuk mengatasinya.